Thursday, February 3, 2011

SEJARAH MASJID MUHAMMADI

Masjid Muhammadi merupakan masjid yang terkenal di Malaysia secara amnya, dan secara khususnya di Kelantan. Ia merupakan Masjid Negeri dan terletak di Kota Bharu. Nama Masjid Muhammadi diambil sempena nama Sultan Muhamad Ke-IV, iaitu sultan yang sangat berjasa kepada Negeri Kelantan. Masjid ini juga dipanggil sebagai "Masjid Besar" di kalangan sesetengah rakyat Kelantan. Masjid yang menginjak usia 80 tahun ini berada dalam kawasan seluas 0.4 hektar dan setiap inci tanahnya dimanfaatkan sepenuhnya dengan bangunan dan infrastruktur asas bagi keperluan lebih 10,000 jemaah dari beberapa kawasan seperti Lorong Gajah Mati, Kampung Sungai Budor, Kampung Cina, Jalan Sri Cemerlang, Jalan Kebun Sultan dan Kampung Merbau.

Binaan terbuka berunsur seni bina kolonial pra-Perang Dunia Kedua berwarna kuning cair dan coklat dengan kubah keemasan serta puluhan tiang besar dan arca itu menjadi mercu tanda bandar Kota Bharu dan pernah memahat sejarah sebagai pusat pengajian ilmu agama yang menarik pelajar bukan sahaja dari pelusuk negeri, bahkan nusantara. Meskipun masjid itu secara rasminya dibuka pada Jumaat, 31 Julai 1931 oleh Almarhum Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Muhammad IV, namun sejarahnya bermula lebih awal daripada itu.

Pengkaji dan penulis sejarah negeri Kelantan, Che Ismail Che Daud berkata, binaan konkrit yang masih berdiri gagah pada hari ini sebenarnya adalah bangunan baru yang didirikan menggantikan masjid kayu lama yang dikenali dengan nama Masjid Besar Kota Bharu. Katanya, ketika itu ia menjadi tempat ‘tadahan’ (pengajian) ilmu ulama terkenal Tok Kenali (Allahyarham Muhammad Yusoff Muhammad) pada zaman remajanya di awal 1880-an dan juga tempat beliau mengajar kitab bermula 1917 melalui sistem pengajian berasaskan kurikulum yang diperkenalkannya.
Masjid Besar Kota Bharu didirikan pada 1867 dengan menggunakan kayu dari masjid asal di Kampung Sungai Budor seberang Paloh dekat sini yang dipindahkan bagi mengelak ancaman banjir.
Kemudian, pembinaan bangunan baru seluas hampir 1,000 meter persegi dengan empat menara setinggi 21 meter menggantikan bangunan kayu dimulakan setelah peletakan batu asas oleh Almarhum Sultan Ismail pada 21 Ogos 1922.
Nama Masjid Besar Kota Bharu kekal sehinggalah Almarhum Sultan Ismail membuat pemasyhuran nama ‘Masjid Muhammadi’ semasa merasmikan bangunan konkrit itu dipercayai bersempena gelaran ‘Sultan Muhammad’ yang digunakan leluhur baginda.
Menurut Che Ismail Che Daud lagi, pembinaan Masjid Muhammadi ini pernah terbengkalai beberapa tahun di pertengahan dekad 20-an kerana pihak Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) kekurangan dana akibat kegawatan ekonomi yang berlaku di seluruh dunia ketika itu.
Jelasnya, pembinaan bangunan baru yang dapat menampung sejumlah 2,400 jemaah hanya bermula semula pada penghujung dekad itu dan kos keseluruhan yang dibelanjakan mencecah angka RM360,000.
Beliau berkata, keseluruhan bangunan kayu asal masjid itu dirobohkan sepenuhnya sekitar 1950-an dan kayu-kayunya dihantar ke beberapa masjid di daerah lain untuk digunakan semula.
Che Ismail berkata, dua lagi blok bangunan tambahan baru dibina di sebelah hilir (kanan) dan hulu (kiri) masjid masing-masing pada 1959 dengan kos RM75,000 dan 1968 dengan kos RM100,000.
Saiz dan keluasan kedua-dua bangunan adalah serupa iaitu hampir 500 kaki persegi dengan kos pembinaan ditanggung pihak MAIK, kerajaan negeri dan hasil derma orang ramai. Pada 1976, satu lagi blok bangunan baru yang lebih besar setinggi dua tingkat dibina bersambung dengan bangunan tambahan hilir yang asal.

Bangunan baru ini memuatkan perpustakaan masjid untuk kemudahan ulama, guru serta orang awam membuat penyelidikan namun bahan-bahan perpustakaan itu akhirnya dipindahkan ke pejabat MAIK setelah Kompleks Islam Lundang siap pada 90-an.
Tambah Che Ismail lagi, bangunan sebelah hulu yang menempatkan ruang solat jemaah wanita mengalami pengubahsuaian terakhir pada 1987 dengan perbelanjaan sebanyak RM482,242 menyaksikan ia direkabentuk semula serupa dengan dewan solat utama yang asal.

No comments:

Post a Comment