Thursday, February 3, 2011

MASJID & MAKNANYA

Allah Subhaanahu Wa Ta’aalaa berfirman:

“Dan (di antara orang-orang munafiq itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudaratan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah:”Kami tidak menghendaki selain kebaikan.” Dan Allah menjadi saksi bahwa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya). Janganlah kamu melakukan solat di masjid itu selama-lamanya. Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa sejak hari pertama adalah lebih patut kamu melakukan solat di dalamnya. Di dalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan Allah menyukai orang-orang yang membersihkan diri. Maka apakah orang yang mendirikan masjidnya di atas dasar taqwa kepada Allah dan keredhaan-Nya itu yang lebih baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama dengan dia ke dalam neraka Jahannam? Dan Allah tidak mernberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Bangunan-bangunan yang mereka dirikan itu senantiasa menjadi pangkal keraguan dalam hati mereka, kecuali bila hati mereka itu telah hancur. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
“(At Taubah : 197-110)”

Definisi masjid dalam Kamus Dewan mengatakan bahawa masjid itu berasal dari perkataan Arab yang membawa maksud bangunan khas tempat umat Islam melakukan solat Jumaat dan ibadah-ibadah lain. Maksud masjid boleh difahami dalam pelbagai tahap. Secara umumnya masjid dimaksudkan sebagai ‘tempat sujud’ (sajadah), yakni ‘tempat mengerjakan sembahyang’. Ini boleh membawa pengertian bahawa keseluruhan bumi adalah masjid kerana sembahyang boleh dikerjakan dimana-mana saja di atasnya (Hadith). Manakala tempat khusus bagi mengerjakan sembahyang disebut musolla. Malah tikar sembahyang turut disebut ‘musala’ (Kamus Dewan), mungkin bertujuan menyampaikan maksud ‘tempat sembahyang’. Definisi masjid dari sudut sosio-politik dapat difahami dengan mempelajari kaedah dan peranannya seperti mana yang telah diamalkan oleh Nabi Muhammad dan para sahabatnya. Dalam konteks ini masjid adalah sebuah tempat berkumpul. Lebih tepat lagi ia adalah sebuah tempat masyarakat berkumpul bagi tujuan mendapatkan secara kolektif keredhaaan dan keberkatan Ilahi. Ia tentunya mengandungi unsur sakral jika dibandingkan dengan tempat perkumpulan yang lain seperti padang bola, pasar, laman bandar (urban square), jalan dan laluan (street) dan sebagainya. Lebih penting lagi masjid adalah sebuah institusi dimana pelbagai aktiviti seperti urusan pentadbiran, mahkamah, mengatur strategi peperangan, ucapan politik, perdebatan, menerima tetamu, membantu musafir dan si-miskin, bersyair, dan sebagainya berlaku dalam kawasan dalaman (zullah) dan perkarangan terbuka (sahn) di Masjid Nabawi pada zaman baginda dahulu. Terdapat beberapa lagi tahap definisi bagi masjid tetapi tidak mahu disentuh dalam tulisan ini kerana definisi di atas sudah dirasakan relevan bagi membantu membicarakan maksud masjid itu sendiri. Dapat difahami di sini bahawa keinstitusian sesebuah masjid itu terletak pada peranannya sebagai pusat pembangunan insani dan ummah sejak dahulu lagi, dan sepatutnya peranan ini diteruskan oleh generasi akan datang supaya masjid itu membantu memperkuatkan kekuatan serta persaudaraan ummah sejagat.

No comments:

Post a Comment