Thursday, February 3, 2011

KEUNIKAN MASJID MUHAMMADI

Kewujudan masjid negeri, Masjid Muhammadi bukan sahaja gah dari sudut binaan dan sejarah yang memateri namanya, malahan, ia menjadi daya penarik minat jemaah dan pelancong untuk mengunjunginya sejak dahulu hingga sekarang. Setiap kali masuknya waktu solat, tidak kurang 500 jemaah akan hadir menunaikan kewajipan rukun Islam itu di situ dengan pertambahan sehingga 600 orang pada sebelah malam.
Tentu ada keistimewaan tersendiri dengan masjid negeri, Masjid Muhammadi yang terletak di pusat bandar ini kerana menjadi pilihan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sehingga digelar sebagai ‘serambi ilmu’ baginda.
Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa masjid itu menjadi tempat utama baginda untuk menunaikan solat lima waktu secara berjemaah dan mengikuti kuliah ilmu sekiranya baginda tiada urusan di tempat lain.
Meskipun tempat bersemayam baginda di Istana Telipot juga berdekatan dengan sebuah masjid besar, namun Masjid Muhammadi dan ahli kariahnya cukup bertuah kerana menerima kedatangan seorang raja hampir setiap hari.
Imam Tua memeberitahu, kalau baginda ada dalam negeri, masjid inilah yang ditujui baginda. Kadang kala pihak masjid hanya dimaklumkan keberangkatan baginda ketika baginda sudahpun dalam perjalanan ke masjid tersebut, dan menyebabkan pihak masjid kelam kabut membuat persiapan. Mungkin di sebalik kegahan masjid ini, tersimpan seribu satu keistimewaannya yang tersendiri hinggakan seorang sultan sanggup mencemar duli datang ke masjid ini.
Imam Tua Masjid Muhammadi ini turut memberitahu, Sultan Kelantan mempunyai bilik khas di bahagian hadapan kiri dewan solat utama yang menjadi tempat baginda beristirehat sebelum tiba waktu solat dan membaca serta menghafaz ayat-sayat suci Al-Quran bersama imam-imam bertugas.

Beberapa individu yang ditemu bual turut mengungkapkan keistimewaan Masjid Muhammadi ini:

Seorang ahli kariah, Wan Yusoff Wan Ahmad, 81, dari Kampung Masjid memberitahu, dia mula mengunjungi masjid itu sejak kanak-kanak lagi dan kawasan masjid yang dulunya dari binaan kayu itu menjadi tempatnya bermain.
''Dulu ada bangunan kayu di sini dan pondok tempat orang belajar, saya ingat lagi pernah bermain kejar-kejar bersama kawan-kawan di bawah masjid kerana rumah kami pun tidak jauh dari sini. Daripada yang saya lihat, berbanding pada zaman dahulu, lebih ramai ahli kariah yang datang ke masjid sekarang'', katanya
Sabari Abdul Rashid, 35, dari Wakaf Bharu pula berkata, Masjid Muhammadi merupakan masjid yang ‘mesra-jemaah’ dan memikat hati anak muda untuk mengimarahkannya.
Kakitangan awam itu berkata, reka bentuk terbuka masjid itu juga menjadikan keadaan nyaman untuk menunaikan ibadah dan sebagai tempat berhenti rehat setelah sibuk bekerja.
Walaupun lebih senang jika saya sembahyang di surau berdekatan pejabat, tetapi saya rasa lebih terpanggil untuk datang ke sini. Malah, saya lihat ramai anak muda menjadi pengunjung tetap dan bukan dimonopoli golongan tua,” katanya.
Bagi Norshaliza Anisa Zubir, 10, dari Kampung Masjid pula, dia suka datang berjemaah ke masjid itu bersama-sama ibu bapanya berbanding sembahyang di rumah.
Lebih seronok sembahyang ramai-ramai, di masjid ada tok imam dan saya juga boleh belajar mengaji di sini, saya suka datang kerana masjid ini bersih,”katanya.

No comments:

Post a Comment