Thursday, February 3, 2011

HALAMAN HADAPAN





SEJARAH PENUBUHAN DAN KEGIATAN DAKWAH MASJID MUHAMMADI, KOTA BHARU, KELANTAN DARUL NAIM.



DISEDIAKAN UNTUK : USTAZ ABDUL AZIZ B. HARJIN
                         PENSYARAH CTU 151



DISEDIAKAN OLEH : BALKIS BT. MUHAMAD BAZLI
    2010812422
ASD2Fn



DIPLOMA SAINS
FAKULTI SAINAS GUNAAN




TARIKH HANTAR : 4 JANUARI 2011

INTIPATI PENULISAN ESEI

1.Penghargaan
2. Abstrak
3. Pendahuluan
4. Definisi masjid
5. Masjid Di Zaman Rasulullah
6. Peranan Masjid & Ciri-cirinya
7. Sejarah Masjid Muhammadi
8. Peranan Masjid Muhammadi
9. Keunikan Masjid Muhammadi
10. Masalah
11. Lampiran
12. Penutup
13. Rujukan

ABSTRAK

TAJUK :Sejarah dan Peranan Masjid Muhammadi, Kelantan Darul Naim.

Sebagaimana yang diketahui umum, masjid itu melambangkan tempat umat Islam menunaikan ibadah. Dalam penulisan ini, saya telah mengambil satu contoh masjid sebagai panduan dalam menerangkan kosep masjid yang sebenarnya, iaitu Masjid Muhammadi,Kelantan Darul Naim. Pada asalnya masjid ini diberi nama sebagai Masjid Besar Kota Bharu. Masjid ini telah dibina pada tahun 1867 pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II (1830 - 1886) dengan menggunakan kayu-kayu yang terpilih. Pengubahsuaian bangunan masjid daripada kayu kepada struktur konkrit telah dilakukan pada tahun 1922 dan telah dirasmikan oleh oleh KDYMM Baginda Sultan Ismail Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad IV pada 31 Julai 1931, dan dinamakan sebagai Masjid Muhammadi. Masjid ini mengalami kerja-kerja pengubahsuaian dan pembesaran pada tahun 1959, 1968, 1976 dan 1987. Luas keseluruhan masjid kini adalah 10,600 kaki persegi dan boleh memuatkan seramai 2,400 orang ahli jemaah.Peranan Masjid Muhammadi di dalam penyebaran dan pendidikan Islam di Kelantan amatlah istimewa. Di sinilah beberapa ulama besar Negeri Kelantan telah mengajar pelbagai ilmu agama. Di antaranya ialah Tuan Taba (1840-1891), Haji Wan Ali Kutan (1837-1912) dan Tok Kenali (1868-1933). Sistem pengajaran di masjid ini mempunyai persamaan dengan pengajaran di Masjidil Haram, Makkah di mana pelajar akan ke Makkah untuk menyambung pelajaran mereka setelah tamat pengajian di masjid ini.Masjid ini menjadi pusat penyebaran ilmu agama yang masyhur di Nusantara sehingga Kelantan dikenali sebagai "Serambi Mekah". Antara peninggalan lama yang masih dapat dilihat hari ini adalah telaga besar Masjid Muhammadi yang lebih terkenal dengan nama Perigi Tok Kenali dan Beduk Besar yang sewaktu dahulu dipalu sebelum azan berkumandang. Dalam penulisan yang seterusnya, saya telah nukilkan sejarah penubuhan, program-program dan berbagai lagi kisah mengenai Masjid Muhammadi ini dan insyaAllah moga ia bermanfaat untuk semua.

PENDAHULUAN

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi, kerana dengan berkat dan limpah kurnia-Nya, dapat saya menyempurnakan tugasan CTU 151 ini. Tanpa bantuan yang Maha Pemurah, sudah tentu tugasan ini tidak mampu berjalan dengan lancar, lantas merencatkan penyelidikan mengenai tajuk yang saya pilih iaitu Sejarah Dan Peranan Masjid Muhammadi, Kelantan Darul Naim. Turut dihargai, Imam Tua Masjid Muhammadi, Tn. Hj. Zulkiflee Mohamed dalam usahanya memberikan info-info dan maklumat yang berkaitan dengan masjid tersubut. Tidak dilupakan juga kepada ayahanda saya, Muhamad Bazli B. Abdullah serta bonda saya, Che Thuwaibah B. Che Abdullah yang berusaha memberikan kerjasama sebaik mungkin serta galakan dan dorongan dari segi material dan juga kewangan. Tujuan penulisan mengenai masjid ini, yang pertama sekali adalah untuk mendapatkan markah bagi subjek CTU 151, di samping mengetahui sejarah dan peranan masjid di tempat kelahiran bonda saya sendiri. Skop penulisan esei ini bermula dari maksud masjid itu sendiri, sejarah masjid, peranan masjid, masalah serta penyelesaian yang dilakukan oleh pihak masjid dalam menangani kesulitan tersebut. Moga, dengan selesainya tugasan ini, diharapkan penulisan saya mampu membuka mata individu mahupun masyarakat di luar sana terutamanya masyarakat di Malaysia mengenai sejarah Masjid Muhammadi, serta bagaimana pentadbiran masjid ini mampu menyuburkan proses islamisasi di negeri Kelantan. Pintanya, ppenulisan ini dapat memenuhi sistem pemarkahan seperti yang digariskan oleh Ustaz Abdul Aziz B. Harjin.

InsyaAllah.

Sekian.

MASJID & MAKNANYA

Allah Subhaanahu Wa Ta’aalaa berfirman:

“Dan (di antara orang-orang munafiq itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudaratan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah:”Kami tidak menghendaki selain kebaikan.” Dan Allah menjadi saksi bahwa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya). Janganlah kamu melakukan solat di masjid itu selama-lamanya. Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa sejak hari pertama adalah lebih patut kamu melakukan solat di dalamnya. Di dalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan Allah menyukai orang-orang yang membersihkan diri. Maka apakah orang yang mendirikan masjidnya di atas dasar taqwa kepada Allah dan keredhaan-Nya itu yang lebih baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama dengan dia ke dalam neraka Jahannam? Dan Allah tidak mernberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Bangunan-bangunan yang mereka dirikan itu senantiasa menjadi pangkal keraguan dalam hati mereka, kecuali bila hati mereka itu telah hancur. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
“(At Taubah : 197-110)”

Definisi masjid dalam Kamus Dewan mengatakan bahawa masjid itu berasal dari perkataan Arab yang membawa maksud bangunan khas tempat umat Islam melakukan solat Jumaat dan ibadah-ibadah lain. Maksud masjid boleh difahami dalam pelbagai tahap. Secara umumnya masjid dimaksudkan sebagai ‘tempat sujud’ (sajadah), yakni ‘tempat mengerjakan sembahyang’. Ini boleh membawa pengertian bahawa keseluruhan bumi adalah masjid kerana sembahyang boleh dikerjakan dimana-mana saja di atasnya (Hadith). Manakala tempat khusus bagi mengerjakan sembahyang disebut musolla. Malah tikar sembahyang turut disebut ‘musala’ (Kamus Dewan), mungkin bertujuan menyampaikan maksud ‘tempat sembahyang’. Definisi masjid dari sudut sosio-politik dapat difahami dengan mempelajari kaedah dan peranannya seperti mana yang telah diamalkan oleh Nabi Muhammad dan para sahabatnya. Dalam konteks ini masjid adalah sebuah tempat berkumpul. Lebih tepat lagi ia adalah sebuah tempat masyarakat berkumpul bagi tujuan mendapatkan secara kolektif keredhaaan dan keberkatan Ilahi. Ia tentunya mengandungi unsur sakral jika dibandingkan dengan tempat perkumpulan yang lain seperti padang bola, pasar, laman bandar (urban square), jalan dan laluan (street) dan sebagainya. Lebih penting lagi masjid adalah sebuah institusi dimana pelbagai aktiviti seperti urusan pentadbiran, mahkamah, mengatur strategi peperangan, ucapan politik, perdebatan, menerima tetamu, membantu musafir dan si-miskin, bersyair, dan sebagainya berlaku dalam kawasan dalaman (zullah) dan perkarangan terbuka (sahn) di Masjid Nabawi pada zaman baginda dahulu. Terdapat beberapa lagi tahap definisi bagi masjid tetapi tidak mahu disentuh dalam tulisan ini kerana definisi di atas sudah dirasakan relevan bagi membantu membicarakan maksud masjid itu sendiri. Dapat difahami di sini bahawa keinstitusian sesebuah masjid itu terletak pada peranannya sebagai pusat pembangunan insani dan ummah sejak dahulu lagi, dan sepatutnya peranan ini diteruskan oleh generasi akan datang supaya masjid itu membantu memperkuatkan kekuatan serta persaudaraan ummah sejagat.

MASJID DI ZAMAN RASULULLAH SAW

Peranan dan Fungsi Masjid Nabawi , Masjid di Zaman Rasulullah S.A.W.

Masjid Nabawi di zaman Nabi S.A.W digunakan untuk pelbagai tujuan. Di antara kegunaan masjid selain dari solat dan iktikaf di zaman itu adalah:
  • Pusat pendidikan utama;
  • Tempat perjumpaan dan interaksi semua Muslimin di mana perayaan-perayaan, riadah dan acara sukan diadakan;
  • Pengkalan untuk membuat persiapan bagi peperangan dan tempat merawat mujahid-mujahid yang cedera. Tawanan perang ditahan di kawasan bersebelahannya;
  • Mahkamah dan tempat hukuman dilaksanakan;
  • Pusat pentadbiran dan politik, serta juga merupakan tempat di mana perwakilan-perwakilan asing disambut dan dilayan;
  • Pusat kebajikan bagi golongan miskin dan sebagai tempat berteduh bagi golongan yang tiada tempat tinggal;
  • Tempat di mana beberapa urusan jual-beli atau ekonomi di jalankan.
Konsep Masjid Sebagai Tempat Tumpuan Masyarakat
Sirah dan hadith Rasulullah S.A.W. memberi gambaran jelas mengenai kedudukan masjid sebagai tempat tumpuan hidup bermasyarakat di zaman Rasulullah S.A.W. Harus di ingatkan bahawa masjid di zaman Rasulullah S.A.W. menjadi tempat tumpuan masyarakat dan tempat pelbagai aktiviti berhubungkait dengan:
Ø Konsep kesyumulan agama Islam
Ø Peribadi dan kepimpinan Rasulullah S.A.W.
Secara ringkasnya Islam adalah satu cara hidup yang sempurna di mana keseluruhan aktiviti kehidupan dianggap sebagai ibadat yang mempunyai kaitan secara langsung dengan kehidupan di akhirat. Dengan itu segala urusan hidup seseorang muslim seperti jual-beli (ekonomi), sosial, kebajikan, pendidikan, perundangan dan sebagainya, termasuk juga riadah mempunyai hubungan langsung dengan persediaan untuk hidup di akhirat. Budaya hidup muslimin tidak memisahkan di antara kegiatan-kegiatan duniawi (sekular) dengan persediaan untuk akhirat.
Secara umumnya, dapat disimpulkan bahawa masjid menjadi tumpuan masyarakat pada masa itu kerana ianya merupakan tempat berpusatnya kebanyakan daripada kegiatan sosio-budaya masyarakat Islam di masa itu. Hakikat bahawa masjid pada masa kini digunakan hampir secara khusus untuk ibadat ritualistik sahaja mungkin timbul dari meluasnya pengaruh sekularisma dalam masyarakat kini yang memisahkan secara jelas di antara aktiviti agama dengan aspek-aspek kehidupan lain yang dianggap duniawi.
KONSEP PUSAT PEMBANGUNAN MASYARAKAT ISLAM
  • Di antara aktiviti-aktiviti dan aspek-aspek yang ditekankan di dalam masjid ini ialah:
  • Meningkatkan daya kefahaman serta daya intelek tentang Islam;
  • Mewujudkan suasana penghayatan Islam yang menyeluruh;
  • Menjalinkan semangat persaudaraan dan ukhuwah diantara umat Islam;
  • Membina kebahagiaan dan kedamaian di dalam institusi keluarga Islam.

PERANAN MASJID & CIRI-CIRINYA

Untuk melaksanakan konsep masjid sebagai sebuah "Institusi Masjid", maka kita haruslah mempunyai pandangan yang jauh ke hadapan dan menjadikan masjid sebagai Pusat Pembangunan Islam yang merangkumi semua kegiatan yang boleh diterjemahkan sebagai ibadah .Institusi Masjid haruslah mempunyai peranan-peranan utama , iaitu:

PUSAT PEMBANGUNAN ISLAM
Institusi Masjid haruslah dijadikan sebagai sebuah pusat perkembangan dan pembangunan Islam, di mana segala-galanya bermula dan berkembang dari masjid.

MASJID SEBAGAI LAMBANG KEAGONGAN ISLAM
Sebagai lambang kesyumulan Islam, makan setiap projek bandar baru, kawasan perumahan, perhotelan dan kompleks perniagaan haruslah dimulakan dengan pembinaan masjid atau jika kawasan itu adalah kawasan lama, maka kawasan itu haruslah mempunyai masjid untuk menarik lebih ramai orang Islam bertumpu ke tempat itu.

PUSAT PERCAMBAHAN ILMU
Institusi Masjid haruslah dijadikan tempat percambahan ilmu, dimana masjid haruslah mempunyai perpustakaan yang lengkap bukan sahaja membekalkan buku-buku agama , tetapi juga buku yang berkaitan dengan ibadah dan muamalah.Begitu juga buku mengenai ilmu sosial, ekonomi, politik dan sebagainya haruslah diletakkan di dalam perpustakaan masjid.Buku-buku ini boleh didapati secara mudah dan murah sekiranya pemimpin masjid itu sanggup meminta dari badan-badan tertentu seperti Dewan bahasa dan pustaka, syarikat percetakan dan sebagainya.Selain dari itu, Jawatankuasa Kariah juga boleh memohon derma dalam bentuk buku daripada penduduk mukim atau daerah berkenaan.

PUSAT TAMADUN ISLAM
Institusi Masjid haruslah dijadikan sebagai pusat tamadun Islam, maka roh Islam di zaman kegemilangan dan keagongan Islam boleh dikembalikan dan dikekalkan untuk diwarisi oleh generasi terkemudian.masjid haruslah mempunyai satu ruang yang mencukupi untuk melambangkan keagongan, kemegahan tamadun Islam di zaman lampau terutama sekali dalam pencapaian Ilmu Perubatan, sains, Astronomi, matematik, falsafah dan sebagainya.Justeru itu haruslah dipamerkan gambar-gambar dan sejarah hidup Ibnu Sina, Al-jabir, Imam Ghazali dan sebagainya.

PUSAT PERCAMBAHAN FIKIRAN
Institusi Masjid haruslah dijadikan sebagai tempat untuk mempercambahkan fikiran dengan adanya dialog, ceramah, seminar dan sebagainya.Kumpulan-kumpulan kecil bolehlah ditubuhkan untuk menggunakan masjid sebagai tempat untuk mempertingkatkan pemikiran dan menajam akal.

RUMAH SUCI
Institusi Masjid ialah sebuah tempat suci yang menjadi tunjang kesucian Islam tanpa dinodai oleh anasir-anasir negatif yang bertentangan dengan ajaran Islam yang berlaku bukan sahaja dalam kawasan masjid, tetapi juga dalam mukim atau daerah di mana masjid itu terletak.

PUSAT PENJAGAAN AYAT-AYAT SUCI
Institusi Masjid boleh dijadikan tempat untuk menjaga bacaan ayat-ayat suci. Rakan Masjid sepatutnya didedahkan kepada peluang untuk menjadi Imam yang boleh memperdengarkan suara mereka. Kalaulah Imam dapat berundur dalam sehari untuk memberi laluan kepada mereka yang berbakat untuk menjadi Imam, kemudian Imam boleh menegur mereka yang membuat kesilapan dalam membaca terutama dalam Tajwid.Amatlah bertepatan dengan konsep Institusi Masjid sebagai penjaga bacaan ayat-ayat suci.

PUSAT BELAJAR AL-QURAN DAN TAFSIRNYA (ULUM AL-QURAN)
Kebanyakan masjid telah digunakan sebagai pusat pembelajaran Al-Quran .Amalan ini haruslah diteruskan tetapi ada baiknya jika kita menambah amalan yang bukan sahaja setakat mengajar Al-Quran kepada anak-anak, tetapi juga menerangkan maknanya atau diberi tafsiran Al-Quran kepada mereka supaya sendiri membaca ayat-ayat suci.

PUSAT PENDIDIKAN
Institusi masjid haruslah dijadikan sebagai pusat pendidikan di mana anak-anak serta keluarga dapat dididik di masjid.Masjid juga boleh dijadikan sebagai pusat pengukuhan ilmu.

PUSAT PENGISIAN JIWA
Institusi Masjid haruslah dijadikan sebagai pusat pengisian dalam ertikata yang luas:Pusat Pengisian Kemerdekaan, Pusat Pengisian Rohani, Pusat Pengisian Ilmu dan sebagainya.

PUSAT PENGUKUHAN IMAN DAN TAQWA
Institusi Masjid haruslah dijadikan pusat pengukuhan iman dan taqwa serta pusat pengukuhan rohani.

PUSAT PELENGKAP
Tiap-tiap orang kanak-kanak adalah didedahkan kepada pendidikan di rumah dan kemudiannya di sekolah.Institusi Masjid bolehlaH dijadikan pusat pelengkap adab, sopan-santun dan sebagainya.Dengan kata lain,Institusi Masjid bolehlah dijadikan "finishing school".

PUSAT SANTAPAN ROHANI
Institusi Masjid haruslah dijadikan sebagai pusat santapan rohani bagi penduduk mukim dan daerah, sekurang-kurangnya buat permulaan.Masjid daerah haruslah d reka dapat menghayati kesucian Islam.

PUSAT EKONOMI
Masjid haruslah terletak di dalam satu kawasan yang luas, di mana di sekelilingnya hendaklah dipenuhi dengan aktiviti ekonomi dan sosial.Kedai adalah merupakan aktiviti ekonomi yang digalakkan oleh Islam.Oleh itu, masjid haruslah mempunyai kedai atau bazar yang menjual beraneka keperluan masyarakat.Selain dari itu, kedai cenderamata yang menjual artifak yang ada hubungannya dengan mukim.

PUSAT PENGGEDARAN PRODUK DAERAH
Kerajaan Negeri Kedah telah telah memperkenalkan setiap daerah hendaklah mengeluarkan satu produk.Institusi masjid haruslah dijadikan salah satu tempat untuk mempromosikan barang-barang yang dikeluarkan dalam daerah tersebut sebagai satu ibadat.Dengan cara itu, rezeki penduduk akan bertambah.Insya-Allah.

MASJID SEBAGAI TAMAN
Masjid haruslah mempunyai kawasan lapang di sekeliling dan dipenihi dengan kawasn hijau untuk membolehkan para jemaah mendapat udara yang bersih sebelum atau selepas sembahyang.Konsep itu belum nampak dilakukan di Kedah mungkin kerana ketiadaan tanah atau kebanyakan masjid terletak di kawasan sempit.Tetapi sekiranya masjid baru hendak dibina , maka kawasan tempat masjid itu dibina hendak dibina hendaklah mempunyai pandangan yang cukup cantik dan dihiasi pula dengan taman yang indah.

SEJARAH MASJID MUHAMMADI

Masjid Muhammadi merupakan masjid yang terkenal di Malaysia secara amnya, dan secara khususnya di Kelantan. Ia merupakan Masjid Negeri dan terletak di Kota Bharu. Nama Masjid Muhammadi diambil sempena nama Sultan Muhamad Ke-IV, iaitu sultan yang sangat berjasa kepada Negeri Kelantan. Masjid ini juga dipanggil sebagai "Masjid Besar" di kalangan sesetengah rakyat Kelantan. Masjid yang menginjak usia 80 tahun ini berada dalam kawasan seluas 0.4 hektar dan setiap inci tanahnya dimanfaatkan sepenuhnya dengan bangunan dan infrastruktur asas bagi keperluan lebih 10,000 jemaah dari beberapa kawasan seperti Lorong Gajah Mati, Kampung Sungai Budor, Kampung Cina, Jalan Sri Cemerlang, Jalan Kebun Sultan dan Kampung Merbau.

Binaan terbuka berunsur seni bina kolonial pra-Perang Dunia Kedua berwarna kuning cair dan coklat dengan kubah keemasan serta puluhan tiang besar dan arca itu menjadi mercu tanda bandar Kota Bharu dan pernah memahat sejarah sebagai pusat pengajian ilmu agama yang menarik pelajar bukan sahaja dari pelusuk negeri, bahkan nusantara. Meskipun masjid itu secara rasminya dibuka pada Jumaat, 31 Julai 1931 oleh Almarhum Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Muhammad IV, namun sejarahnya bermula lebih awal daripada itu.

Pengkaji dan penulis sejarah negeri Kelantan, Che Ismail Che Daud berkata, binaan konkrit yang masih berdiri gagah pada hari ini sebenarnya adalah bangunan baru yang didirikan menggantikan masjid kayu lama yang dikenali dengan nama Masjid Besar Kota Bharu. Katanya, ketika itu ia menjadi tempat ‘tadahan’ (pengajian) ilmu ulama terkenal Tok Kenali (Allahyarham Muhammad Yusoff Muhammad) pada zaman remajanya di awal 1880-an dan juga tempat beliau mengajar kitab bermula 1917 melalui sistem pengajian berasaskan kurikulum yang diperkenalkannya.
Masjid Besar Kota Bharu didirikan pada 1867 dengan menggunakan kayu dari masjid asal di Kampung Sungai Budor seberang Paloh dekat sini yang dipindahkan bagi mengelak ancaman banjir.
Kemudian, pembinaan bangunan baru seluas hampir 1,000 meter persegi dengan empat menara setinggi 21 meter menggantikan bangunan kayu dimulakan setelah peletakan batu asas oleh Almarhum Sultan Ismail pada 21 Ogos 1922.
Nama Masjid Besar Kota Bharu kekal sehinggalah Almarhum Sultan Ismail membuat pemasyhuran nama ‘Masjid Muhammadi’ semasa merasmikan bangunan konkrit itu dipercayai bersempena gelaran ‘Sultan Muhammad’ yang digunakan leluhur baginda.
Menurut Che Ismail Che Daud lagi, pembinaan Masjid Muhammadi ini pernah terbengkalai beberapa tahun di pertengahan dekad 20-an kerana pihak Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) kekurangan dana akibat kegawatan ekonomi yang berlaku di seluruh dunia ketika itu.
Jelasnya, pembinaan bangunan baru yang dapat menampung sejumlah 2,400 jemaah hanya bermula semula pada penghujung dekad itu dan kos keseluruhan yang dibelanjakan mencecah angka RM360,000.
Beliau berkata, keseluruhan bangunan kayu asal masjid itu dirobohkan sepenuhnya sekitar 1950-an dan kayu-kayunya dihantar ke beberapa masjid di daerah lain untuk digunakan semula.
Che Ismail berkata, dua lagi blok bangunan tambahan baru dibina di sebelah hilir (kanan) dan hulu (kiri) masjid masing-masing pada 1959 dengan kos RM75,000 dan 1968 dengan kos RM100,000.
Saiz dan keluasan kedua-dua bangunan adalah serupa iaitu hampir 500 kaki persegi dengan kos pembinaan ditanggung pihak MAIK, kerajaan negeri dan hasil derma orang ramai. Pada 1976, satu lagi blok bangunan baru yang lebih besar setinggi dua tingkat dibina bersambung dengan bangunan tambahan hilir yang asal.

Bangunan baru ini memuatkan perpustakaan masjid untuk kemudahan ulama, guru serta orang awam membuat penyelidikan namun bahan-bahan perpustakaan itu akhirnya dipindahkan ke pejabat MAIK setelah Kompleks Islam Lundang siap pada 90-an.
Tambah Che Ismail lagi, bangunan sebelah hulu yang menempatkan ruang solat jemaah wanita mengalami pengubahsuaian terakhir pada 1987 dengan perbelanjaan sebanyak RM482,242 menyaksikan ia direkabentuk semula serupa dengan dewan solat utama yang asal.

PERANAN MASJID MUHAMMADI

Sejarah penubuhan Masjid Muhammadi yang pada pandangan saya amat menarik sekali serta struktur binaannya yang begitu unik, mampu memuatkan beribu-ribu bilangan jemaah pada suatu-suatu masa. Hal ini turut diperakui Imam Tua Masjid Muhammadi, Tn. Hj Zulkiflee Mohamed. Beliau berkata, tiga blok bangunan utama Masjid Muhammadi boleh memuatkan sehingga 5,000 jemaah dan bilangan yang menghadiri solat Jumaat pula akan meningkat sekali ganda apabila mereka memenuhi setiap ruang dalam dan luar masjid.
Jelasnya, sebagai sebuah masjid negeri, pengurusan Masjid Muhammadi berada di bawah pemantauan langsung Imam Besar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Mohd. Hanafizi Abdullah.
Selain itu, pentadbiran masjid dibantu Imam Muda I, Wan Zulkifli Wan Omar, 45, dan Imam Muda II, Baharuddin Abdullah, 41, serta lebih 20 kakitangan lain terdiri daripada bilal, siak, pengawal keselamatan dan pekerja kontrak kebersihan.
Bilangan yang ramai ini sudah pasti diperlukan untuk mengurus sebuah masjid yang menarik kunjungan bukan sahaja ahli kariah dan pekerja pejabat serta peniaga sekitar bandar tetapi juga pelancong dari dalam dan luar negeri.
Dari sudut pengisian, sehingga ke hari ini, asas pengajian ilmu seperti kaedah yang diperkenalkan oleh Tok Kenali puluhan tahun lalu kekal menjadi keistimewaan Masjid Muhammadi.
Menurut Tn. Hj.Zulkiflee Mohamed, masjid itu mengadakan sesi ‘tadahan’ ataupun pengajian kitab dari pukul 7.00 hingga 8.00 pagi setiap hari mengumpulkan ‘murid-murid’ daripada latar belakang berbeza yang mahu membaca dan mendalami kitab daripada pelbagai genre ilmu.
Setiap kitab fekah, tasawuf, tafsir dan hadis contohnya Kitab Tafsir An-Nasafi dan Feqah Al-Mahalli ini akan ditelaah dari kulit ke kulit bersama tenaga ilmuan berkaliber yang dijemput oleh pihak pentadbiran masjid.
Penuntutnya terdiri daripada golongan pendidik, profesional dan pesara akan membaca dalam bentuk halaqah ilmu sama seperti pengajian sistem pondok dan tidak akan melangkau mana-mana bab pun sehinggalah mereka menghabiskan satu-satu kitab.
Sekarang, Masjid Muhammadi ini turut mempunyai tiga tenaga pengajar bagi sesi ini termasuklah Timbalan Mufti negeri sendiri, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Muhammad.

Kewujudan masjid negeri, Masjid Muhammadi bukan sahaja gah dari sudut binaan dan sejarah yang memateri namanya, malahan, ia menjadi daya penarik minat jemaah dan pelancong untuk mengunjunginya sejak dahulu hingga sekarang.
Setiap kali masuknya waktu solat, tidak kurang 500 jemaah akan hadir menunaikan kewajipan rukun Islam itu di situ dengan pertambahan sehingga 600 orang pada sebelah malam.
Imam Tua Masjid Muhammadi, Zulkiflee Mohamed memberitahu pihak masjid menyediakan pelbagai program di masjid. Selain keselesaan ruang solat berhawa dingin, kedudukannya di pusat bandar mungkin menjadi penarik utama kepada umat Islam.
Setiap pagi selepas kuliah subuh, pihak masjid akan mengadakan sesi ‘tadahan’ atau pengajian kitab, kemudiannya diteruskan dengan pengajian Al-Quran untuk golongan kanak-kanak mahupun dewasa. Ini disusuli pula dengan muzakarah sebelum asar dan kuliah maghrib.
Pada Ahad dan Selasa pula masjid juga mengadakan sesi kuliah tambahan pengajian taranum Al-Quran dan hadis selepas waktu Isyak. Kebanyakan jemaah atau individu yang mahu mendengar kuliah dan program-program yang diadakan, mereka lebih cenderung dan selesa datang ke masjid ini lebih-lebih lagi pada malam hari disebabkan keadaan dan persekitaran masjid yang lebih selesa.
Menurut Imam Tua lagi, pada setiap pagi Sabtu, kuliah khusus untuk wanita disediakan dengan tenaga pengajarnya yang juga wanita bagi memudahkan lagi pemahaman tentang pelbagai isu berkaitan kaum hawa dari sudut agama.
Majid yang menjadi kebanggaan rakyat Kelantan ini tidak hanya menjalankan kuilah-kuliah, ataupun kelas-kelas agama sahaja, malah kanak-kanak juga tidak dilupakan apabila pihak masjid menganjurkan kelas tambahan bahasa Inggeris percuma pada malam Sabtu dan Ahad yang dikendalikan seorang guru pakar.

KEUNIKAN MASJID MUHAMMADI

Kewujudan masjid negeri, Masjid Muhammadi bukan sahaja gah dari sudut binaan dan sejarah yang memateri namanya, malahan, ia menjadi daya penarik minat jemaah dan pelancong untuk mengunjunginya sejak dahulu hingga sekarang. Setiap kali masuknya waktu solat, tidak kurang 500 jemaah akan hadir menunaikan kewajipan rukun Islam itu di situ dengan pertambahan sehingga 600 orang pada sebelah malam.
Tentu ada keistimewaan tersendiri dengan masjid negeri, Masjid Muhammadi yang terletak di pusat bandar ini kerana menjadi pilihan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sehingga digelar sebagai ‘serambi ilmu’ baginda.
Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa masjid itu menjadi tempat utama baginda untuk menunaikan solat lima waktu secara berjemaah dan mengikuti kuliah ilmu sekiranya baginda tiada urusan di tempat lain.
Meskipun tempat bersemayam baginda di Istana Telipot juga berdekatan dengan sebuah masjid besar, namun Masjid Muhammadi dan ahli kariahnya cukup bertuah kerana menerima kedatangan seorang raja hampir setiap hari.
Imam Tua memeberitahu, kalau baginda ada dalam negeri, masjid inilah yang ditujui baginda. Kadang kala pihak masjid hanya dimaklumkan keberangkatan baginda ketika baginda sudahpun dalam perjalanan ke masjid tersebut, dan menyebabkan pihak masjid kelam kabut membuat persiapan. Mungkin di sebalik kegahan masjid ini, tersimpan seribu satu keistimewaannya yang tersendiri hinggakan seorang sultan sanggup mencemar duli datang ke masjid ini.
Imam Tua Masjid Muhammadi ini turut memberitahu, Sultan Kelantan mempunyai bilik khas di bahagian hadapan kiri dewan solat utama yang menjadi tempat baginda beristirehat sebelum tiba waktu solat dan membaca serta menghafaz ayat-sayat suci Al-Quran bersama imam-imam bertugas.

Beberapa individu yang ditemu bual turut mengungkapkan keistimewaan Masjid Muhammadi ini:

Seorang ahli kariah, Wan Yusoff Wan Ahmad, 81, dari Kampung Masjid memberitahu, dia mula mengunjungi masjid itu sejak kanak-kanak lagi dan kawasan masjid yang dulunya dari binaan kayu itu menjadi tempatnya bermain.
''Dulu ada bangunan kayu di sini dan pondok tempat orang belajar, saya ingat lagi pernah bermain kejar-kejar bersama kawan-kawan di bawah masjid kerana rumah kami pun tidak jauh dari sini. Daripada yang saya lihat, berbanding pada zaman dahulu, lebih ramai ahli kariah yang datang ke masjid sekarang'', katanya
Sabari Abdul Rashid, 35, dari Wakaf Bharu pula berkata, Masjid Muhammadi merupakan masjid yang ‘mesra-jemaah’ dan memikat hati anak muda untuk mengimarahkannya.
Kakitangan awam itu berkata, reka bentuk terbuka masjid itu juga menjadikan keadaan nyaman untuk menunaikan ibadah dan sebagai tempat berhenti rehat setelah sibuk bekerja.
Walaupun lebih senang jika saya sembahyang di surau berdekatan pejabat, tetapi saya rasa lebih terpanggil untuk datang ke sini. Malah, saya lihat ramai anak muda menjadi pengunjung tetap dan bukan dimonopoli golongan tua,” katanya.
Bagi Norshaliza Anisa Zubir, 10, dari Kampung Masjid pula, dia suka datang berjemaah ke masjid itu bersama-sama ibu bapanya berbanding sembahyang di rumah.
Lebih seronok sembahyang ramai-ramai, di masjid ada tok imam dan saya juga boleh belajar mengaji di sini, saya suka datang kerana masjid ini bersih,”katanya.

MASALAH DI MASJID MUHAMMADI

Alhamdulillah, di Masjid Muhammadi ini tidak mempunyai banyak masalah seperti masjid-masjid lain, tambahan masjid ini sering dikunjungi oleh Sultan Muhamad V. Kelengkapan dan kemudahan beribadah untuk para kariah dan juga masyarakat telah berjaya disiapkan oleh pihak masjid dengan bantuan kewangan dari pihak negeri Kelantan sendiri dan bantuan tabung zakat. Penghawa dingin juga telah dipasang di masjid ini untuk menambah keselesaan para kariah dan masyarakat ketika beribadat.

LAMPIRAN

Masjid Muhammadi yang tersergam indah

Struktur bangunan yang unik dan cantik

Suasana dalam masjid yang damai dan bersih

Panorama masjid dari jauh

Sejarah Masjid Muhammadi 1

Sejarah Masjid Muhammadi 2


Struktur Masjid Muhammadi yang lama

PENUTUP

Dasawarsa ini, masjid hanya lambang sesuatu tempat itu mempunyai penduduk yang beragama Islam. Masjid bukan lagi tempat beribadah yang gah seperti zaman Baginda Rasulullah SAW.
Jika dilihat di Malaysia, kebanyakan masjid di negara kita begitu cantik struktur bangunannya. Begitu halus seninya, begitu indah rekaannya. Namun, tidak semua masjid mampu menjalankan tugas dan peranannya seperti Masjid Naba', seperti Masjid Nabawi, seperti Masjidil Haram. Lihatlah betapa dunia sekarang sudah semakin hilang nilai-nilai Islamnya, bukan kerana masjid itu sendiri tetapi kerana penduduk di sekitar masjid itu yang tidak mengerti hakikat kehidupan yang sebenar. Justeru, contohilah pentadbiran Masjid Muhammadi ini sebagai 'role model' dalam menjalankan aktiviti-aktiviti mahupun program yang yang bukan sahaja bersifat akhirat semata-mata malah ada juga program yang berunsurkan dunia. Lihatlah bagaimana pentadbiran Masjid Muhammadi ini berjaya menjadikan ia sebagai salah satu taman-taman syurga di dunia. Masjid yang berjaya menyemarakkan jiwa naluri para remaja dan juga masyarakat yang semakin senja usianya, bahkan kanak-kanak juga turut merasai keseronokkan untuk terus beribadat di masjid ini. Moga, masjid ini akan terus melahirkan individu yang akan memperjuangkan Islam di bawah laungan Lailahaillallah.
Lihatlah, betapa Allah telah menurunkan rahmat-Nya, untuk menyuburkan kita di bumi ini!

RUJUKAN

  • Utusan Malaysia
  • Imam Tua Masjid Muhammadi, Tn Hj. Zulkiflee B. Mohamed
  • Pengkaji dan penulis sejarah negeri Kelantan, Che Ismail Che Daud
  • Penduduk Kampung Masjid, Kota Bharu, Wan Yusoff Wan Ahmad
  • Sejarah | Al-Masjid : Masjid Muhammadi, http://almasjid.wordpress.com
  • Oneforce, peranan dan fungsi masjid
  • Wikipedia, Ensiklopedia Bebas
  • http://agbaling.tripod.com/menu.html
  • Kamus Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002
  • Google map