Thursday, February 3, 2011

ABSTRAK

TAJUK :Sejarah dan Peranan Masjid Muhammadi, Kelantan Darul Naim.

Sebagaimana yang diketahui umum, masjid itu melambangkan tempat umat Islam menunaikan ibadah. Dalam penulisan ini, saya telah mengambil satu contoh masjid sebagai panduan dalam menerangkan kosep masjid yang sebenarnya, iaitu Masjid Muhammadi,Kelantan Darul Naim. Pada asalnya masjid ini diberi nama sebagai Masjid Besar Kota Bharu. Masjid ini telah dibina pada tahun 1867 pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II (1830 - 1886) dengan menggunakan kayu-kayu yang terpilih. Pengubahsuaian bangunan masjid daripada kayu kepada struktur konkrit telah dilakukan pada tahun 1922 dan telah dirasmikan oleh oleh KDYMM Baginda Sultan Ismail Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad IV pada 31 Julai 1931, dan dinamakan sebagai Masjid Muhammadi. Masjid ini mengalami kerja-kerja pengubahsuaian dan pembesaran pada tahun 1959, 1968, 1976 dan 1987. Luas keseluruhan masjid kini adalah 10,600 kaki persegi dan boleh memuatkan seramai 2,400 orang ahli jemaah.Peranan Masjid Muhammadi di dalam penyebaran dan pendidikan Islam di Kelantan amatlah istimewa. Di sinilah beberapa ulama besar Negeri Kelantan telah mengajar pelbagai ilmu agama. Di antaranya ialah Tuan Taba (1840-1891), Haji Wan Ali Kutan (1837-1912) dan Tok Kenali (1868-1933). Sistem pengajaran di masjid ini mempunyai persamaan dengan pengajaran di Masjidil Haram, Makkah di mana pelajar akan ke Makkah untuk menyambung pelajaran mereka setelah tamat pengajian di masjid ini.Masjid ini menjadi pusat penyebaran ilmu agama yang masyhur di Nusantara sehingga Kelantan dikenali sebagai "Serambi Mekah". Antara peninggalan lama yang masih dapat dilihat hari ini adalah telaga besar Masjid Muhammadi yang lebih terkenal dengan nama Perigi Tok Kenali dan Beduk Besar yang sewaktu dahulu dipalu sebelum azan berkumandang. Dalam penulisan yang seterusnya, saya telah nukilkan sejarah penubuhan, program-program dan berbagai lagi kisah mengenai Masjid Muhammadi ini dan insyaAllah moga ia bermanfaat untuk semua.

No comments:

Post a Comment