Thursday, February 3, 2011

SEJARAH MASJID MUHAMMADI

Masjid Muhammadi merupakan masjid yang terkenal di Malaysia secara amnya, dan secara khususnya di Kelantan. Ia merupakan Masjid Negeri dan terletak di Kota Bharu. Nama Masjid Muhammadi diambil sempena nama Sultan Muhamad Ke-IV, iaitu sultan yang sangat berjasa kepada Negeri Kelantan. Masjid ini juga dipanggil sebagai "Masjid Besar" di kalangan sesetengah rakyat Kelantan. Masjid yang menginjak usia 80 tahun ini berada dalam kawasan seluas 0.4 hektar dan setiap inci tanahnya dimanfaatkan sepenuhnya dengan bangunan dan infrastruktur asas bagi keperluan lebih 10,000 jemaah dari beberapa kawasan seperti Lorong Gajah Mati, Kampung Sungai Budor, Kampung Cina, Jalan Sri Cemerlang, Jalan Kebun Sultan dan Kampung Merbau.

Binaan terbuka berunsur seni bina kolonial pra-Perang Dunia Kedua berwarna kuning cair dan coklat dengan kubah keemasan serta puluhan tiang besar dan arca itu menjadi mercu tanda bandar Kota Bharu dan pernah memahat sejarah sebagai pusat pengajian ilmu agama yang menarik pelajar bukan sahaja dari pelusuk negeri, bahkan nusantara. Meskipun masjid itu secara rasminya dibuka pada Jumaat, 31 Julai 1931 oleh Almarhum Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Muhammad IV, namun sejarahnya bermula lebih awal daripada itu.

Pengkaji dan penulis sejarah negeri Kelantan, Che Ismail Che Daud berkata, binaan konkrit yang masih berdiri gagah pada hari ini sebenarnya adalah bangunan baru yang didirikan menggantikan masjid kayu lama yang dikenali dengan nama Masjid Besar Kota Bharu. Katanya, ketika itu ia menjadi tempat ‘tadahan’ (pengajian) ilmu ulama terkenal Tok Kenali (Allahyarham Muhammad Yusoff Muhammad) pada zaman remajanya di awal 1880-an dan juga tempat beliau mengajar kitab bermula 1917 melalui sistem pengajian berasaskan kurikulum yang diperkenalkannya.
Masjid Besar Kota Bharu didirikan pada 1867 dengan menggunakan kayu dari masjid asal di Kampung Sungai Budor seberang Paloh dekat sini yang dipindahkan bagi mengelak ancaman banjir.
Kemudian, pembinaan bangunan baru seluas hampir 1,000 meter persegi dengan empat menara setinggi 21 meter menggantikan bangunan kayu dimulakan setelah peletakan batu asas oleh Almarhum Sultan Ismail pada 21 Ogos 1922.
Nama Masjid Besar Kota Bharu kekal sehinggalah Almarhum Sultan Ismail membuat pemasyhuran nama ‘Masjid Muhammadi’ semasa merasmikan bangunan konkrit itu dipercayai bersempena gelaran ‘Sultan Muhammad’ yang digunakan leluhur baginda.
Menurut Che Ismail Che Daud lagi, pembinaan Masjid Muhammadi ini pernah terbengkalai beberapa tahun di pertengahan dekad 20-an kerana pihak Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) kekurangan dana akibat kegawatan ekonomi yang berlaku di seluruh dunia ketika itu.
Jelasnya, pembinaan bangunan baru yang dapat menampung sejumlah 2,400 jemaah hanya bermula semula pada penghujung dekad itu dan kos keseluruhan yang dibelanjakan mencecah angka RM360,000.
Beliau berkata, keseluruhan bangunan kayu asal masjid itu dirobohkan sepenuhnya sekitar 1950-an dan kayu-kayunya dihantar ke beberapa masjid di daerah lain untuk digunakan semula.
Che Ismail berkata, dua lagi blok bangunan tambahan baru dibina di sebelah hilir (kanan) dan hulu (kiri) masjid masing-masing pada 1959 dengan kos RM75,000 dan 1968 dengan kos RM100,000.
Saiz dan keluasan kedua-dua bangunan adalah serupa iaitu hampir 500 kaki persegi dengan kos pembinaan ditanggung pihak MAIK, kerajaan negeri dan hasil derma orang ramai. Pada 1976, satu lagi blok bangunan baru yang lebih besar setinggi dua tingkat dibina bersambung dengan bangunan tambahan hilir yang asal.

Bangunan baru ini memuatkan perpustakaan masjid untuk kemudahan ulama, guru serta orang awam membuat penyelidikan namun bahan-bahan perpustakaan itu akhirnya dipindahkan ke pejabat MAIK setelah Kompleks Islam Lundang siap pada 90-an.
Tambah Che Ismail lagi, bangunan sebelah hulu yang menempatkan ruang solat jemaah wanita mengalami pengubahsuaian terakhir pada 1987 dengan perbelanjaan sebanyak RM482,242 menyaksikan ia direkabentuk semula serupa dengan dewan solat utama yang asal.

PERANAN MASJID MUHAMMADI

Sejarah penubuhan Masjid Muhammadi yang pada pandangan saya amat menarik sekali serta struktur binaannya yang begitu unik, mampu memuatkan beribu-ribu bilangan jemaah pada suatu-suatu masa. Hal ini turut diperakui Imam Tua Masjid Muhammadi, Tn. Hj Zulkiflee Mohamed. Beliau berkata, tiga blok bangunan utama Masjid Muhammadi boleh memuatkan sehingga 5,000 jemaah dan bilangan yang menghadiri solat Jumaat pula akan meningkat sekali ganda apabila mereka memenuhi setiap ruang dalam dan luar masjid.
Jelasnya, sebagai sebuah masjid negeri, pengurusan Masjid Muhammadi berada di bawah pemantauan langsung Imam Besar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Mohd. Hanafizi Abdullah.
Selain itu, pentadbiran masjid dibantu Imam Muda I, Wan Zulkifli Wan Omar, 45, dan Imam Muda II, Baharuddin Abdullah, 41, serta lebih 20 kakitangan lain terdiri daripada bilal, siak, pengawal keselamatan dan pekerja kontrak kebersihan.
Bilangan yang ramai ini sudah pasti diperlukan untuk mengurus sebuah masjid yang menarik kunjungan bukan sahaja ahli kariah dan pekerja pejabat serta peniaga sekitar bandar tetapi juga pelancong dari dalam dan luar negeri.
Dari sudut pengisian, sehingga ke hari ini, asas pengajian ilmu seperti kaedah yang diperkenalkan oleh Tok Kenali puluhan tahun lalu kekal menjadi keistimewaan Masjid Muhammadi.
Menurut Tn. Hj.Zulkiflee Mohamed, masjid itu mengadakan sesi ‘tadahan’ ataupun pengajian kitab dari pukul 7.00 hingga 8.00 pagi setiap hari mengumpulkan ‘murid-murid’ daripada latar belakang berbeza yang mahu membaca dan mendalami kitab daripada pelbagai genre ilmu.
Setiap kitab fekah, tasawuf, tafsir dan hadis contohnya Kitab Tafsir An-Nasafi dan Feqah Al-Mahalli ini akan ditelaah dari kulit ke kulit bersama tenaga ilmuan berkaliber yang dijemput oleh pihak pentadbiran masjid.
Penuntutnya terdiri daripada golongan pendidik, profesional dan pesara akan membaca dalam bentuk halaqah ilmu sama seperti pengajian sistem pondok dan tidak akan melangkau mana-mana bab pun sehinggalah mereka menghabiskan satu-satu kitab.
Sekarang, Masjid Muhammadi ini turut mempunyai tiga tenaga pengajar bagi sesi ini termasuklah Timbalan Mufti negeri sendiri, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Muhammad.

Kewujudan masjid negeri, Masjid Muhammadi bukan sahaja gah dari sudut binaan dan sejarah yang memateri namanya, malahan, ia menjadi daya penarik minat jemaah dan pelancong untuk mengunjunginya sejak dahulu hingga sekarang.
Setiap kali masuknya waktu solat, tidak kurang 500 jemaah akan hadir menunaikan kewajipan rukun Islam itu di situ dengan pertambahan sehingga 600 orang pada sebelah malam.
Imam Tua Masjid Muhammadi, Zulkiflee Mohamed memberitahu pihak masjid menyediakan pelbagai program di masjid. Selain keselesaan ruang solat berhawa dingin, kedudukannya di pusat bandar mungkin menjadi penarik utama kepada umat Islam.
Setiap pagi selepas kuliah subuh, pihak masjid akan mengadakan sesi ‘tadahan’ atau pengajian kitab, kemudiannya diteruskan dengan pengajian Al-Quran untuk golongan kanak-kanak mahupun dewasa. Ini disusuli pula dengan muzakarah sebelum asar dan kuliah maghrib.
Pada Ahad dan Selasa pula masjid juga mengadakan sesi kuliah tambahan pengajian taranum Al-Quran dan hadis selepas waktu Isyak. Kebanyakan jemaah atau individu yang mahu mendengar kuliah dan program-program yang diadakan, mereka lebih cenderung dan selesa datang ke masjid ini lebih-lebih lagi pada malam hari disebabkan keadaan dan persekitaran masjid yang lebih selesa.
Menurut Imam Tua lagi, pada setiap pagi Sabtu, kuliah khusus untuk wanita disediakan dengan tenaga pengajarnya yang juga wanita bagi memudahkan lagi pemahaman tentang pelbagai isu berkaitan kaum hawa dari sudut agama.
Majid yang menjadi kebanggaan rakyat Kelantan ini tidak hanya menjalankan kuilah-kuliah, ataupun kelas-kelas agama sahaja, malah kanak-kanak juga tidak dilupakan apabila pihak masjid menganjurkan kelas tambahan bahasa Inggeris percuma pada malam Sabtu dan Ahad yang dikendalikan seorang guru pakar.

KEUNIKAN MASJID MUHAMMADI

Kewujudan masjid negeri, Masjid Muhammadi bukan sahaja gah dari sudut binaan dan sejarah yang memateri namanya, malahan, ia menjadi daya penarik minat jemaah dan pelancong untuk mengunjunginya sejak dahulu hingga sekarang. Setiap kali masuknya waktu solat, tidak kurang 500 jemaah akan hadir menunaikan kewajipan rukun Islam itu di situ dengan pertambahan sehingga 600 orang pada sebelah malam.
Tentu ada keistimewaan tersendiri dengan masjid negeri, Masjid Muhammadi yang terletak di pusat bandar ini kerana menjadi pilihan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sehingga digelar sebagai ‘serambi ilmu’ baginda.
Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa masjid itu menjadi tempat utama baginda untuk menunaikan solat lima waktu secara berjemaah dan mengikuti kuliah ilmu sekiranya baginda tiada urusan di tempat lain.
Meskipun tempat bersemayam baginda di Istana Telipot juga berdekatan dengan sebuah masjid besar, namun Masjid Muhammadi dan ahli kariahnya cukup bertuah kerana menerima kedatangan seorang raja hampir setiap hari.
Imam Tua memeberitahu, kalau baginda ada dalam negeri, masjid inilah yang ditujui baginda. Kadang kala pihak masjid hanya dimaklumkan keberangkatan baginda ketika baginda sudahpun dalam perjalanan ke masjid tersebut, dan menyebabkan pihak masjid kelam kabut membuat persiapan. Mungkin di sebalik kegahan masjid ini, tersimpan seribu satu keistimewaannya yang tersendiri hinggakan seorang sultan sanggup mencemar duli datang ke masjid ini.
Imam Tua Masjid Muhammadi ini turut memberitahu, Sultan Kelantan mempunyai bilik khas di bahagian hadapan kiri dewan solat utama yang menjadi tempat baginda beristirehat sebelum tiba waktu solat dan membaca serta menghafaz ayat-sayat suci Al-Quran bersama imam-imam bertugas.

Beberapa individu yang ditemu bual turut mengungkapkan keistimewaan Masjid Muhammadi ini:

Seorang ahli kariah, Wan Yusoff Wan Ahmad, 81, dari Kampung Masjid memberitahu, dia mula mengunjungi masjid itu sejak kanak-kanak lagi dan kawasan masjid yang dulunya dari binaan kayu itu menjadi tempatnya bermain.
''Dulu ada bangunan kayu di sini dan pondok tempat orang belajar, saya ingat lagi pernah bermain kejar-kejar bersama kawan-kawan di bawah masjid kerana rumah kami pun tidak jauh dari sini. Daripada yang saya lihat, berbanding pada zaman dahulu, lebih ramai ahli kariah yang datang ke masjid sekarang'', katanya
Sabari Abdul Rashid, 35, dari Wakaf Bharu pula berkata, Masjid Muhammadi merupakan masjid yang ‘mesra-jemaah’ dan memikat hati anak muda untuk mengimarahkannya.
Kakitangan awam itu berkata, reka bentuk terbuka masjid itu juga menjadikan keadaan nyaman untuk menunaikan ibadah dan sebagai tempat berhenti rehat setelah sibuk bekerja.
“Walaupun lebih senang jika saya sembahyang di surau berdekatan pejabat, tetapi saya rasa lebih terpanggil untuk datang ke sini. Malah, saya lihat ramai anak muda menjadi pengunjung tetap dan bukan dimonopoli golongan tua,” katanya.
Bagi Norshaliza Anisa Zubir, 10, dari Kampung Masjid pula, dia suka datang berjemaah ke masjid itu bersama-sama ibu bapanya berbanding sembahyang di rumah.
“Lebih seronok sembahyang ramai-ramai, di masjid ada tok imam dan saya juga boleh belajar mengaji di sini, saya suka datang kerana masjid ini bersih,”katanya.

MASALAH DI MASJID MUHAMMADI

Alhamdulillah, di Masjid Muhammadi ini tidak mempunyai banyak masalah seperti masjid-masjid lain, tambahan masjid ini sering dikunjungi oleh Sultan Muhamad V. Kelengkapan dan kemudahan beribadah untuk para kariah dan juga masyarakat telah berjaya disiapkan oleh pihak masjid dengan bantuan kewangan dari pihak negeri Kelantan sendiri dan bantuan tabung zakat. Penghawa dingin juga telah dipasang di masjid ini untuk menambah keselesaan para kariah dan masyarakat ketika beribadat.

LAMPIRAN

Masjid Muhammadi yang tersergam indah

Struktur bangunan yang unik dan cantik

Suasana dalam masjid yang damai dan bersih

Panorama masjid dari jauh

Sejarah Masjid Muhammadi 1

Sejarah Masjid Muhammadi 2


Struktur Masjid Muhammadi yang lama

PENUTUP

Dasawarsa ini, masjid hanya lambang sesuatu tempat itu mempunyai penduduk yang beragama Islam. Masjid bukan lagi tempat beribadah yang gah seperti zaman Baginda Rasulullah SAW.
Jika dilihat di Malaysia, kebanyakan masjid di negara kita begitu cantik struktur bangunannya. Begitu halus seninya, begitu indah rekaannya. Namun, tidak semua masjid mampu menjalankan tugas dan peranannya seperti Masjid Naba', seperti Masjid Nabawi, seperti Masjidil Haram. Lihatlah betapa dunia sekarang sudah semakin hilang nilai-nilai Islamnya, bukan kerana masjid itu sendiri tetapi kerana penduduk di sekitar masjid itu yang tidak mengerti hakikat kehidupan yang sebenar. Justeru, contohilah pentadbiran Masjid Muhammadi ini sebagai 'role model' dalam menjalankan aktiviti-aktiviti mahupun program yang yang bukan sahaja bersifat akhirat semata-mata malah ada juga program yang berunsurkan dunia. Lihatlah bagaimana pentadbiran Masjid Muhammadi ini berjaya menjadikan ia sebagai salah satu taman-taman syurga di dunia. Masjid yang berjaya menyemarakkan jiwa naluri para remaja dan juga masyarakat yang semakin senja usianya, bahkan kanak-kanak juga turut merasai keseronokkan untuk terus beribadat di masjid ini. Moga, masjid ini akan terus melahirkan individu yang akan memperjuangkan Islam di bawah laungan Lailahaillallah.
Lihatlah, betapa Allah telah menurunkan rahmat-Nya, untuk menyuburkan kita di bumi ini!

RUJUKAN

  • Utusan Malaysia
  • Imam Tua Masjid Muhammadi, Tn Hj. Zulkiflee B. Mohamed
  • Pengkaji dan penulis sejarah negeri Kelantan, Che Ismail Che Daud
  • Penduduk Kampung Masjid, Kota Bharu, Wan Yusoff Wan Ahmad
  • Sejarah | Al-Masjid : Masjid Muhammadi, http://almasjid.wordpress.com
  • Oneforce, peranan dan fungsi masjid
  • Wikipedia, Ensiklopedia Bebas
  • http://agbaling.tripod.com/menu.html
  • Kamus Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002
  • Google map